Assalamualaikum WBT & salam sejahtera.
Akhirnya, terlaksana juga sistem cukai barangan & perkhidmatan
(GST) mulai hari ini, 1 April 2015. Pelbagai komen & reaksi orang
ramai. Ada juga yang masih mempolitikkan isu ini. Izinkan saya
memberikan sedikit pengamatan / pencerahan :
1) GST 6% ini menggantikan cukai jualan 10% & cukai perkhidmatan 6%. Ia bukan cukai tambahan.
2) Kadar 6% yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara
yang terendah di dunia. Sebagai contoh, kadar di Singapura 7%, Thailand
7%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Filipina 12%. Di Australia 10% dan di UK
jauh lebih tinggi iaitu 20% .
3) Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat,
Kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar
sifar atau terkecuali dari GST. Ini termasuk barangan makanan asas
seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan & sebagainya,
ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 & Diesel. Berdasarkan
pengiraan Kementerian Kewangan, kesan GST terhadap kadar inflasi adalah
peningkatan sebanyak1.1%. Memandangkan kadar inflasi sekarang adalah
pada kadar 1-2%, purata kadar inflasi untuk tahun 2015 dijangka sekitar
3%, satu kadar berpatutan & antara kadar terendah di rantau ini.
4) Tidak semua harga barang & perkhidmatan akan naik. Ada juga
yang turun seperti harga kereta yang turun 2-3%. Proton menurunkan harga
sehingga RM1,475 seunit manakala Honda antara RM500 hingga RM2,500
seunit.
5) Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober
2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah ‘pengimbangan’ seperti
pengurangan cukai pendapatan individu antara 1-3%, pengurangan cukai
pendapatan korporat dari 25% kepada 24% dan pengurangan cukai perusahaan
kecil & sederhana dari 20% kepada 19%. Pemberian BR1M isirumah
berpendapatan RM3,000 kebawah sebulan juga ditingkatkan dari RM500 ke
RM650 manakala isirumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula
diberikan BR1M RM450 buat pertama kali. Seterusnya dalam Bajet 2015,
jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 &
RM750 . Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 kebawah pula, BR1M
dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan untuk meringankan impak
kenaikan harga barang.
6) Ada peniaga yang merungut tidak diberikan masa yang cukup untuk
membuat persediaan GST. Sebenarnya masa 17 bulan yang diberikan adalah
munasabah & mencukupi. Mereka yang masih tidak bersedia
kebanyakannya berlengah pada peringkat permulaan. Ada juga yang sengaja
mengharapkan agar GST tidak dilaksanakan kerana dengan adanya GST,
adalah lebih sukar untuk mengelak dari membayar cukai pendapatan.
7) Seperti dalam mana-mana pelaksanaan sistem baru, memang akan
terdapat isu-isu pelaksanaan (teething problems) di peringkat awal.
Untuk itu, Kerajaan telah mewujudkan GST hotline Jabatan
Kastam1300888500 dan KPDNKK 1300886800. Kunjungi laman sesawang
gst.customs.gov.my untuk maklumat lanjut.
8) Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas
percukaian negara memandangkan kita hanya ada 2 juta pembayar cukai,
satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 28
juta. GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax)dimana
mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang
berpendapatan lebih. Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal
yang mensasarkan bajet seimbang menjelang 2020. Dengan peningkatan
pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal
kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh
sebelum ini seperti pembinaan jalanraya, jambatan, sekolah, hospital,
klinik desa, dll.
Marilah kita sama-sama menjayakan sistem percukaian yang baru ini.
Memang tiada sistem yang sempurna (perfect). Pasti ada kelemahannya.
Walau apapun, niat kita murni. InsyaAllah apa yang dihasratkan akan
tercapai. Maaf pencerahan ini panjang sedikit. Harap ia membantu. Terima
kasih. |